Usul Tafsir al-Quran – Sesi 5 – Usul No 6 -Tafsir Al-Quran Menggunakan Aqal Fikiran

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 5 – Usul No 6 -Tafsir Al-Quran Menggunakan Aqal Fikiran

https://darulkautsar.wordpress.com/ – USUL TAFSIR AL-QURAN – Sesi 5 –

USUL KE 6 – TAFSIR AL-QURAN MENGGUNAKAN ‘AQAL FIKIRAN

Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff

Kota Bharu,Kelantan

10 Feb 2016

Laman Web Menarik – https://darulkautsarpemurniansyariat….

Nota Kuliah boleh di download di sini – https://tinyurl.com/ydbrfju8 (usul 1 hingga 6)

KLIK TANDA MASA DI BAWAH UNTUK TONTON TERUS KE TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:15 : Tafsir Al-Quran Dengan Menggunakan Aqal Fikiran

2- 00:09:35 : Peringatan Tentang Tafsir Al-Quran Dengan Menggunakan Fikiran

3- 00:20:30 : Ibnu Abbas Mentafsirkan Surah An-Nashr

4- 00:26:05 : Pembahagian Tafsir Al-Quran Dengan Menggunakan Fikiran

5- 00:35:00 : Contoh Tafsir Tanpa Mempunyai Ilmu Lengkap

6- 00:48:00 : Contoh Tafsir Yang Dibuat Untuk Menyokong Sesuatu Fahaman, Atau Aliran Yang Sesat

7- 00:54:35 : Contoh Tafsir Menggunakan Fikiran (Rasa Elok) Dan Mengikut Hawa Nafsu

8- 01:07:14 : Seorang Ahli Tafsir Tetap Mungkin Melakukan Kesilapan & Perbezaan Di Antara Pentafsir Ahli Sunnah Dan Ahli Bid’ah

**** NOTA KULIAH ***

TAFSIR AL-QURAN PERINGKAT ASAS

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

USUL KE 6 – TAFSIR AL-QURAN MENGGUNAKAN ‘AQAL FIKIRAN

Usul keenam ialah menyatakan pendapat setelah meneliti, merenung dan mengkaji al-Qur’an berpandukan usul-usul yang tersebut di atas. Allah mengurniakan ‘aqal kepada manusia. Al-Qur’an pula menggesa manusia menggunakan ‘aqalnya. Maka seseorang ahli tafsir hendaklah sentiasa menggunakan ‘aqal dalam kajiannya terhadap al-Qur’an. Dengan menggunakan ‘aqal, wujudlah kefahaman yang mendalam tentang agama (ثقة في الدين). Lihatlah bagaimana doa Rasulullah s.a.w untuk Ibnu ‘Abbaas, seorang yang kemudiannya terbilang sebagai tokoh utama dalam tafsir. Bukankah baginda mendoakan agar beliau mendapat kefahaman yang mendalam tentang agama dan agar diajar Allah kepadanya ilmu tafsir al-Qur’an? Begini doanya: الهم فقهه في الدين وعلمه التأويل yang bermaksud: “Ya Allah, kurniakanlah kepadanya (Ibnu ‘Abbaas) kefahaman yang mendalam tentang agama dan ajarlah dia ilmu tafsir al-Qur’an.”

(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah).

Saiyyidina ‘Ali pernah berkata, tidak ada apa-apa ilmu khusus atau rahsia pada kami, selain kefahaman tentang al-Qur’an yang Allah kurniakan kepada seseorang (الا فهما يعطيه الله رجلا في القرآن). (atsar riwayat al-Bukhari). Kata-kata Saiyyidina ‘Ali selain menolak dakwaan golongan Bathiniah, menonjolkan juga betapa istimewanya kefahaman hasil kajian terhadap al-Qur’an dengan menggunakan ‘aqal fikiran. Kefahaman dan pemahaman al-Qur’an secara mendalam itulah sebenarnya yang dikatakan tafsir al-Qur’an menggunakan fikiran (التفسير بالرأي).

Peringatan :

Perlu sekali difahami dengan baik pergertian mentafsir al-Qur’an dengan menggunakan fikiran. Sesetengah orang mengharamkan semua bentuk tafsir yang menggunakan ‘aqal fikiran. Sesetengah yang lain pula mengambil kesempatan daripadanya dan bertindak mentafsirkan al-Qur’an dengan sewenang-wenang dan sesuka hati. Imam Ibnu Taimiyyah di dalam “Muqaddimah Usul Tafsir”nya telah menulis beberapa panduan penting berhubung dengan perkara ini. Penulis akan menyaringnya menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas. Kata beliau : “Tafsir menggunakan fikiran terbahagi kepada dua. (a) Tafsir menggunakan fikiran yang terpuji (b) Tafsir menggunakan fikiran yang tercela.

Tafsir menggunakan fikiran yang terpuji ialah mentafsir sesuatu ayat al-Qur’an secara bersepadu. Dengan cara mengemukakan ayat-ayat lain yang ada kaitan dengannya, mengemukakan hadits-hadits sahih yang membantu penafsirannya di samping membatalkan hadits-hadits dha’if dan maudhu’ yang dikaitkan dengannya, menyebutkan ijma’ Sahabat jika ada, membawa beberapa pendapat mereka dan mentarjihkan mana yang rajih daripadanya, menyatakan pendapat Tabi’in yang boleh dan tidak boleh dijadikan dalil, membincangkannya berdasarkan kaedah bahasa ‘Arab secara tuntas, lalu mengemukakan pendapat atau membuat kesimpulan dan keputusan berlandaskan dalil-dalil yang kukuh dan teguh. Mentafsirkan al-Qur’an dengan cara seperti itulah yang dikatakan ‘tafsir menggunakan fikiran yang terpuji’. Tafsir seperti ini memang terpuji dan menjamin kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Tafsir menggunakan fikiran yang tercela pula ialah tafsir dengan menggunakan fikiran semata-mata tanpa menghiraukan segala usul yang telah disebutkan sebelum ini. Orang yang mentafsirkan al-Qur’an menggunakan fikiran tercela akan mencari dalil-dalil atau sokongan-sokongan daripada al-Qur’an untuk menyokong dan menguatkan sesuatu fahaman yang telah sedia ada padanya. Dia mengutamakan ‘aqalnya dan menolak hadits-hadits yang bercanggah dengannya. Dia tidak percayakan mu’jizat. Dia bahkan selalu saja menyalahi qaedah-qaedah bahasa ‘Arab yang disepakati ahli-ahli bahasa. Pentafsir seperti ini bukan sekadar tercela malah akan diseksa Allah di akhirat nanti. Ini kerana dia bukan sahaja menyesatkan dirinya, malah menyebabkan orang-orang lain juga sesat. Semoga Allah melindungi kita semua daripada perbuatan sebegini. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah r.a. perbuatan mentafsir al-Qur’an dengan menggunakan ‘aqal semata-mata adalah haram (وأما تفسير القرآن بمجرد الرأي فحرام). Setelah menukilkan sekian banyak kata-kata Sahabat dan Tabi’in tentang tafsir menggunakan fikiran yang terpuji, beliau berkata tidak salah mentafsirkan al-Quran menggunakan fikiran yang terpuji itu. Mana ada ahli tafsir di dunia ini yang langsung tidak menggunakan fikirannya, kemudian menyatakan pendapatnya ketika mentafsir al-Qur’an? Kata beliau lagi, فأما من تكلم بما يعلم من ذلك لغة و شرعا فلا حرج عليه bermaksud, “Adapun orang yang mahir dalam bahasa ‘Arab dan alim tentang syari’at, maka tidak mengapa ia mentafsir al-Qur’an menurut pendapatnya.” Para Ulama salaf akan memberikan pendapat mereka tentang sesuatu ayat al-Qur’an, jika mereka mempunyai pengetahuan tentangnya. Dalam keadaan mereka tidak mempunyai pengetahuan pula, mereka akan mendiamkan diri sahaja. Mendiamkan diri dalam keadaan anda mempunyai pengetahuan tentang al-Qur’an adalah satu dosa besar. Ia termasuk dalam menyembunyikan agama Allah.

Seorang ahli tafsir, biar bagaimana hebat dan ikhlas sekalipun, tetap mungkin melakukan kesilapan. Kerana ia tetap seorang manusia. Ia hanya seorang umat, bukan seorang nabi atau rasul yang ma’shum. Bagaimanapun ada perbezaan di antara kesilapan yang berlaku pada seorang pentafsir ahli as-Sunnah yang ikhlas dan pentafsir dari kalangan ahli bid’ah. Pentafsir dari kalangn ahli as-Sunnah yang ikhlas dan menggunakan qaedah-qeadah usul tafsir dengan sebaik-baiknya diampunkan jika tersalah dalam pentafsirannya. Sedangkan pentafsiran dari kalangan ahli bid’ah tetap dikira bersalah, meskipun benar dalam pentafsirannya. Ini kerana kebenaran dan ketepatan tafsirannya hanyalah satu kebetulan semata-mata.

Perincian Yang Tidak Berfaedah Dalam Tafsir

Seseorang pelajar tafsir hendaklah mengetahui bahawa di dalam sesetengah tafsir yang menjadi rujukan umat sekian banyak cerita yang dikaitkan dengan sesuatu firman Allah s.w.t. Padahal ia langsung tidak berasas dan tidak bersanad. Malah terdapat juga di dalamnya perincian-perincian yang tidak berfaedah. Oleh itu apabila mentafsir al-Qur’an, anda hendaklah berpada dengan riwayat-riwayat yang sahih meskipun ia tidak terperinci. Sibuk mencari maklumat tentang berapakah panjang dan lebar bahtera Nabi Nuh a.s. adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak berfaedah. Berapakah sebenarnya bilangan Ashab al-Kahfi juga sesuatu yang tidak perlu dipastikan. Kalau ia betul-betul diperlukan, tentu Allah dan rasulNya telah memeberitahu tentangnya. Apa yang perlu ditekankan sebenarnya ialah tentang maksud al-Qur’an mengemukakan sesuatu cerita. Kenapa misalnya Allah telah memerintahkan Nabi Nuh supaya membuat bahtera. Kenapa Ashab al-Kahfi terpaksa berlindung di dalam gua tempat persembunyian mereka. Apakah perkara yang mendorong mereka lari ke gua itu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s